Bismillah..Walhamdulillah..
Hampir-hampir saja laman blog ini terkubur dek kerana saya seakan-akan
kehabisan idea untuk menulis dan kesibukan dalam mencari ilmu di menara
gading (moga2 keikhlasan lahir dalam hati saya dalam menuntut ilmu-ilmu
tersebut..aamiin).
Namun hari ini, Allah memberi sedikit masa, ruang dan peluang untuk saya
menukilkan sesuatu di laman blog ini. Baru-baru ini saya ada membaca
buku yang berjudul 'Cinta di Rumah Hasan Al-Banna' tulisan Muhammad Lili
Nur Aulia, buku yang amat ringkas tulisannya tetapi amat menyentuh jiwa
pembacanya. Subhanallah..
Buku ini menceritakan bagaimana akhlak Assyahid Imam Hasan Al-Banna
rahimahullah terhadap keluarga beliau. Meskipun beliau amat sibuk dengan
gerakan Ikhawanul Muslimin pada hayatnya namun beliau tidak pernah
mengabaikan hak-hak terhadap keluarganya dan tanggungjawabnya sebagai
seorang ayah dan sebagai ketua ketua keluarga.
Antara yang saya sangat kagum dengan beliau ialah, beliau (semoga Allah
memberkatinya) sangat mengambil berat terhadap urusan anak-anaknya.
Anak-anak beliau lapan orang; Wafa, Ahmad Saiful Islam, Tsana, Raja',
Halah, Istisyhad, (Hisayamuddin dan Shafa meninggal ketika masih kecil).
Beliau menyediakan fail untuk setiap orang anaknya. Fail tersebut
mengandungi butiran maklumat detail tentang anak-anaknya termasuk berapa
kali ke hospital, apa sakit yang dihadapi oleh anak-anaknya, berapa
kali kena makan ubat dan sebagainya.
Beliau juga akan menghantar sendiri anak-anaknya ke sekolah. Ada masanya
beliau akan meminta seorang ikhwan untuk memantau keadaan anaknya di
sekolah. Jika ada sebarang masalah berkaitan dengan anaknya, dia akan
terus berjumpa dengan guru mereka untuk memastikan anak-anaknya dan
pelajar lain turut memperoleh apa yang patut mereka perolehi di sekolah
khususnya pendidikan yang sebenarnya.
Selain itu, apa yang saya tertarik dengan peribadi beliau ialah, cara
beliau mendidik anak-anaknya. Beliau tidak sekali-kali menggunakan
kekerasan malah amat lembut dengan anak-anaknya, persis akhlak
Rasulullah s.a.w. Diceritakan oleh anaknya, Tsana, ketika dia berjalan
di atas tanah tanpa memakai selipar padahal ayahnya sudah berpesan
kepadanya supaya memakai selipar jika hendak berjalan di atas tanah.
"Ayah hanya berkata, "duduklah di kerusi dan angkat kedua-dua kaki
kamu". Ayah lalu memukul kaki saya dengan sebatang pembaris pendek.
Setiap sebelah kaki mendapat sepuluh sebatan. Tapi terus terang saya
sebenarnya ingin ketawa, kerana pukulannya begitu perlahan bahkan saya
tidak merasa sakit pun. Ayah hanya ingin membuat saya mengerti bahawa
saya telah melakukan kesalahan."
Terus terang saya katakan bahawa, membaca buku ini membuatkan kita
berasa anak-anaknya sangat bertuah dikurniakan ayah seperti Assyahid
Imam Hasan Al-Banna. Semoga Allah memberkati keluarga beliau. aamiin..
Timbul persoalan di ruang mindaku, mampukah para suami dan para bapa
pada hari ini mencontohi akhlak beliau dalam mendidik keluarga mereka? tepuk dada,
tanya hati apakah tujuan perkahwinan yang dibina selama ini? untuk Allah
kah atau untuk apa?.... ^_^