Assalamu'alaikum w.b.t..
"Aaaa..bosanlah dengan hidup ini, lepas satu masalah datang lagi masalah lain..belum pun dapat selesai yang tu, datang pula yang ni" --adakah ayat ini pernah terkeluar daripada mulut kita? mulut yang Allah ciptakan khas buat hamba-Nya yang bergelar MANUSIA, sesungguhnya penciptaan manusia adalah sebaik-baik penciptaan dan segala kebaikan juga terkandung di dalamnya..atau mungkin saja ayat itu pernah terlintas di hati kita, jika benar, ampuni kami ya Allah kerana tidak tertanggung rasanya hati dan diri kami menghadapi ujian daripada-Mu meskipun kami tahu bahawa setiap yang ditaklifkan kepada kami adalah apa yang termampu bagi kami dan sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib.
JANGAN BERPUTUS DENGAN RAHMAT ALLAH
Allah telah berfirman yang bermaksud : "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah". Menunjukkan bahawa rahmat Allah tersangatlah luas, andai dihitung sekalipun kita tak akan mampu untuk menghitung dan mengira kurniaan dan nikmat Allah.
"senang la kamu cakap sebab bukan kamu yang menanggung semua tu"..ya, memang bukan kita yang merasai dan menanggung semua permasalahan itu tetapi pernah tak kita fikir bahawa apa yang kita hadapi tu ada HIKMAH disebaliknya. Jika pemikiran seperti ini dimiliki oleh orang yang sedang menghadapi masalah dan ujian pastinya HATI MEREKA akan MERASAI KETENANGAN setenang air sungai yang mengalir dengan di sekelilingnya ada dedaunan yang menghijau..sejuk, nyaman dan menenangkan..namun jika kita hanya memikirkan betapa sengsaranya jiwa berada dalam kesempitan dihimpit permasalahan, maka yang dirasa hanya seperti batu-batu besar daripada bukit jatuh menghempap diri. Tersangat sakit dan pedih dirasa. Itulah yang dirasai oleh mereka yang menghadapi kebuntuan dalam kehidupan mereka. Lalu mereka terus lemah dan berputus asa tanpa ada rasa untuk bangkit dan mengubah persepsi diri.
HADIRNYA CAHAYA SETELAH KEGELAPAN
"Alhamdulillah" mungkin inilah kalimah pertama yang terkeluar daripada mulut kita apabila kita beroleh nikmat dan mendapat kesenangan. Apatah lagi jika selepas hampir separuh hidup kita hanya diselubungi dengan kesusahan dan kepayahan. Kita mampu bersabar dengan ujian daripada Allah dan kita rasa gembira dan bahagia. Firman Allah: "Sesungguhnya, setelah kesusahan pasti ada kesenangan". Sematlah kata-kata ini di dalam hati kita, moga setiap kali ujian datang, kita tahu akhirnya kita pasti beroleh kesenangan..dan itulah janji Allah!
Yang terlantar kesakitan, walaupun hampir sepanjang hidupnya dia menanggung kesakitan tidak akan mengeluh malahan dia bersyukur dengan ujian tersebut. Fikirnya, mungkin saja dia akan bergelumang dengan maksiat dan dosa jika Allah memberinya kesihatan yang baik. Bahkan dia mungkin akan melupai Allah. Tetapi dengan kesakitan dan kesusahan yang dihadapi dia mengingati Allah dan dia tahu Allah akan mengampuninya dan membalasnya dengan kebaikan di Akhirat sana.
Yang menghadapi pergolakan rumah tangga, atau mungkin masalah ibu bapa yang sering bergaduh atau berpisah..jangan terus sedih dan carilah bahagia cinta Allah walaupun di dunia ini kita mungkin kurang mendapat kebahagian hidup. Bergaullah dengan orang yang mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah. Menghadiri majlis dan program-program yang mengingati Allah. Sentuh dan isilah hati kita dengan cinta dan kasih sayang Allah, pasti kita akan bahagia dan merasai ketenangan.
Yang selalu gagal dalam hidup, ingatlah bahawa tidak selamanya kita akan gagal jika kita sentiasa mencari dan muhasabah diri terhadap kegagalan yang kita hadapi. Mungkin saja banyak sangat HIKMAH di sebalik kegagalan itu. Kita menjadi lebih tabah dan tak mudah patah semangat. Terus berusaha untuk memperbaiki prestasi. Kerana sesungguhnya Allah menjanjikan kejayaan buat orang yang berusaha. Oleh itu, letaklah SYURGA sebagai cita-cita tertinggi, moga ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memperbaiki diri kerana hanya orang yang 'hebat' di sisi Allah akan masuk Syurga. Oleh itu, jadilah 'orang hebat' di sisi Allah, kejarlah cita-cita tertinggi itu!
KESIMPULAN
BerSYUKURlah jika mendapat kesenangan dan berSABARlah jika mendapat kesusahan. Jika kita mahukan sesuatu, lihatlah orang yang lebih kurang dan miskin daripada kita. Maka kita akan bersyukur dengan apa yang kita miliki. "Bersyukurlah wahai diri dengan kurniaan Allah, sekurang-kurangnya aku naik motor sedangkan dia hanya berbasikal, mungkin duit ini boleh ku belanjakan untuk benda yang lain daripada guna untuk beli motor besar tu." Jika kita mendapat musibah atau ujian daripada Allah, lihatlah orang yang lebih susah dan sempit daripada kita. Maka kita akan bersabar dengan apa kita hadapi. "Sabarlah wahai diri, apa yang ku hadapi hanya sedikit saja jika dibandingkan dengan orang itu yang kehilangan kedua-dua belah kakinya sedang aku masih punya satu kaki lagi."
Wallahu ta'ala a'lam.
No comments:
Post a Comment