Wednesday, November 3, 2010

Cinta Berputik Di Rusila


Terkenang bagaimana detik awal saya menyertai perjuangan suci ini . Kala itu ( 1985 ) usia saya baru mencecah 15 tahun . Selepas menduduki peperiksaan SRP , ayah meminta agar saya mengisi borang keahlian PAS. Kesedaran awal berputik dari mimbar Masjid Rusila setelah saya mendengar buat pertama kalinya khutbah dan kuliah mingguan yang disampaikan oleh al Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang . ( Waktu itu saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Marang ( untuk Tingkatan 4 aliran sains ) dan menyewa di rumah allahyarmah Tok De di Rusila. ) Pertengahan 1986 saya melangkah kaki ke Madrasah ad Diniah al Bakriah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumbuh meninggalkan sekolah menengah dengan mengikut seorang kenalan ( yang datang berniaga di Rusila ) ke Pasir Tumbuh . Madrasah inilah menjadi saksi bagaimana saya menjalani proses pemulihan fikrah dan terapi spiritual agar kembali menjadi “manusia” yang menepati objektif penciptaannya.

Selain mengambil silibus pengajian di pondok Pasir Tumbuh , saban bulan saya akan menyertai siri tamrin pemantapan fikrah dan qiamulail yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad Kota Bharu . Tamrin ini biasanya dikelolakan oleh al Marhum Ustaz Musthafa Rusdi . Tokoh – tokoh pimpinan yang biasa diundang untuk memberi pengisian di majlis tamrin tersebut ialah al Fadhil Ustaz Yahya Othman , al Marhum Ustaz Mawardi Tok Kenali , al Fadhil Ustaz Wan Daud , al Marhum Ustaz Nik Abdullah ( Pak Nik Lah ) dan lain – lain yang terdiri kepimpinan pemuda negeri dan pusat . Dari dalam pondok , saya menyertai gerakan pelajar melalui usrah yang dibentuk . Tokoh yang banyak membantu saya membentuk syakhsiyyah dan fikrah pejuang ini ialah Al Fadhil Ustaz Muhaiyyidin Husain ( Pondok Sungai Durian ) , Al Fadhil Ustaz Mokhtar Senik , al Fadhil Ustaz Asmui Sondeng , al Fadhil Ustaz Ramli Sidom , al Fadhil Ustaz Zaini , al Fadhil Ustaz Abdul Aziz , al fadhil Ustaz Nazri Mansur dan lainnya . Semua mereka adalah guru saya yang bertanggungjawab membawa saya ke pentas perjuangan.
Tentu sahaja ilmu Islam dan asas agama dibawah didikan al Fadhil Tuan Guru Hj. Hashim , al Fadhil Ustaz Rahim , al Fadhil ustaz Abu Bakar , al Marhum Tuan Guru Hj. Atiqullah menjadi pemangkin buat diri saya berubah aliran dari system jahiliyyah kepada Islam. Sepanjang pengalaman saya bersama PAS , era 80’an adalah era yang kaya dengan pengisian tarbiyyah , pemantap fikrah dan pemerkasaan ruuhiyyah . Tamrin , mukhayyam , katibah , qiamulial , usrah dan ijtimak adalah aktiviti yang “terhangat di pasaran jamaah “ . Kebanyakan ahli dan pemimpin bercakap soal tarbiyyah . Kalau saja bertemu sesama sendiri , topic yang dibincang selain politik ialah bagaimana pengalaman manis dan seronok menyertai tamrin di sana , mukhayyam di sini dsbnya. Saya sendiri , apabila pulang ke kawasan pada musim cuti pengajian pasti tidak melepaskan peluang mengadakan mukhayyam bersama rakan – rakan di kawasan . Sehingga kini , apa yang saya ingat sudah lebih seratus cap kehadhiran dan penyertaan saya bersama dengan mukayyam . Dulu memang saya kaki tamrin dan kaki mukhayyam .

Suasana tarbawi sangat dirasai dan ia wujud di mana – mana . Pemimpin yang tidak menyertai atau mengadakan usrah dianggap pelik dan mengaibkan. Buku – buku tarbiyyah adalah bahan bacaan yang “terlaris di pasaran” berbanding buku – buku agama lain. Buku Maza Ya’ni karya ustaz Fathi Yakan , Mabadi’ lil Islam karya al Maududi , Muqaddimah Aqidah Muslimin karya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi adalah antara buku yang sering habis dalam pasaran.
Ceramah pimpinan PAS dipelbagai peringkat kebanyakan berkisar soal aqidah perjuangan yang membezakan antara iman dan kufur. Isu politik hanya disentuh 30 atau 20 minit terakhir ceramah mereka . Kuliah agama yang dikelolakan oleh pimpinan PAS tidak ubah seperti pesta terutamanya di Masjid Rusila , Masjid Pulau Melaka dan lainnya. Setiap kali pimpinan PAS turun berceramah , orang ramai sanggup menumpang belakang lori untuk menghadhiri majlis ceramah . Masih terlalu segar dalam ingatan saya , bagaimana saya mengayuh basikal dari Pondok Pasir Tumbuh ke Kampung Raja Besut untuk menghadhiri satu majlis ceramah yang disampaikan oleh al Fadhil Tuan Guru Hj. Abdul Hadi , al Fadhil Ustaz Awang Bakar , al Fadhil Ustaz Harun Jusoh dan Al Fadhil Ustaz Kassim .

Rata – rata hubungan ahli PAS dengan pemimpin mereka tidak terhenti setakat hubungan antara ahli dengan pemimpin tetapi lebih kepada hubungan murid dengan guru . Hormat ahli kepada pemimpin tidak ubah seperti seorang anak murid menyerah diri kepada guru mursyidnya . Tidak dinafikan , terkadang ada juga berlaku krisis dan pergeseran , tetapi secara umumnya , ia sedikitpun tidak melunturkan ketaatan , kesetiaan atau wala’ ahli kepada pemimpin mereka . Mereka masih tahu cara menghormati pemimpin dan menjaga maruah jamaah . Saya cukup merindui suasana dulu . Suasana yang penuh dengan aktiviti amal tarbawi . Dididik , ditegur dan dinasihati oleh naqib usrah adalah satu ke”nikmatan”. Diarah dan disuruh oleh pimpinan pula adalah satu “kepuasan” .

Saya percaya bahawa kenikmatan dan kepuasan itu datang dari suasana pentarbiyyahan yang dilalui secara konsisten. Suasana yang mampu meletakkan saya rasa berdosa dan bersalah apabila gagal melaksanakan tugasan jamaah. Saya merindui kenangan lalu , dikelilingi sahabat dan rakan yang sangat tinggi nilai ukhuwwahnya. Pantang tidak bertemu biar pun 2 atau 3 hari Cuma , pasti sahaja pertemuan segera di atur . Pertemuan akan berlangsung di tepi pantai , di tepi sungai , di kaki bukit , di pulau , di surau atau di markaz . ( hotel belum dikenali pada waktu itu . )
Kalau anggota satu usrah , hubungan kami tak ubah seperti adik beradik kembar . Pakai baju pun nak sama ( masa tu kami tak pandai lagi nak buat uniform berlambang parti atau baju korporat cop bulan ), keluar ke Bandar pun nak sama – sama , pergi program pun nak sama – sama . Kami redah susah senang bersama . Kalau seorang antara kami anggota usrah sakit atau ditimpa kesempitan nescaya yang lain pasti turut berkongsi derita. Usrah Asy Syabab ! itulah nama usrah saya yang pernah bertahan 12 tahun lamanya . Zaman itu adalah zaman usrah dan zaman tarbiyyah. Saya sungguh merinduinya .

Markaz di zaman itu tidak banyak tetapi majoritinya aktif dengan solat jamaah dan usrah . Paling tidak hanya pertemuan biasa sambil berbual mengenai jamaah , bertanya khabar ahli serta isu semasa dan menikmati juadah ringan .
Sungguh saya merindui saat dan detik seperti itu . Apakah ia tidak akan berulang lagi ? Bukan saya tidak suka berprogram dihotel , tidak juga saya menganggap kepimpinan hari ini tidak baik dan tidak lah pula saya mengatakan bahawa hari ini tiada tarbiyyah , tetapi …… saya merindui suasana dulu ! Namun , suatu yang perlu diinsafi tanpa perlu kita menuding kepada sesiapa . Hari ini kalau kita nak dengar perkataan tamrin dalam tempoh satu hari memang susah . Terkadang berlalu bagi tempoh satu bulan tanpa kedengaran perkataan tamrin apalagi programnya , demikian juga mukhayyam atau qiamulail . Saya memahami betapa perlu kita berkembang mengikut tumbesar zaman dan eranya , tetapi perkara yang bersifat fundamental wajar dipertahan merentas zaman . Saya mungkin bersetuju bentuk aktivitinya boleh berubah mengikut kesesuaian tetapi roh dan semangat program amal tarbawi mestilah dikekalkan. Saya juga percaya di mana saya tidak bersendirian dalam menanggung rindu seperti ini . Sahabat yang pernah melalaui zaman dan pengalaman seperti saya pastinya turut menyimpan rindu yang mendalam . Bagi mengubati rindu yang sekian lama memendam rasa , saya mengharapkan rijal – rijal tarbawi yang wujud melata dalam jamaah ini kembali bangkit .

Saya dapat merasakan bahawa inilah zaman atau detik kebangkitan semula era gemilang amal tarbawi setelah jenuh kita menyaksikan berlakunya perlecehan terhadap amal tarbawi oleh sebahagian yang tidak menjiwainya bahkan turut disaksi bagaimana agenda politik kepartian seakan mengatasi ruh amal Islami dan apa yang lebih malang ialah berlakunya krisis fikrah dan aqidah perjuangan dikalangan sebahagian anggota jamaah .
Inilah zamannya untuk tarbiyyah kembali dinobat malah didaulatkan sebagai agenda “wajib laksana” di semua peringkat parti bermula dari kepimpinannya yang paling tinggi hinggalah kepada anggotanya yang paling rendah .

Saya yakin , ramai anggota jamaah boleh bersetuju dengan saya apabila saya mengatakan bahawa nilai ukhuwwah fillah dikalangan anggota jamaah ( termasuk pemimpinnya ) mencapai tahap kritikal.
Demikian mutu ketaatan terhadap pimpinan dan kesetiaan terhadap jamaah juga tidak berada pada tahap yang meyakinkan . Baiah mereka kian longgar dan wala’ mereka pula kian lekang dari hari ke sehari lantaran aktiviti amal tarbawi semakin terpinggir dari agenda utama parti dan suasana tarbawiyyah semakin lenyap dari kehidupan harian anggota parti / jamaah . Rindu ini kembali terubat andai kita semua Berjaya mengembalikan kegemilangan amal tarbawi di dalam jamaah kita tanpa kita mengabaikan aspek tajdid dalaman parti .

Masih ingat kah kita kepada ucapan al marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor agar kita : contemporary dalam tindakan , fundamental dalam berprinsip dan bersikap futuristic dalam merancang atau merencana .


Begitu juga perlu kita mengambil iktibar terhadap apa yang pernah disebut oleh Abu Hasan Ali An Nadwi : الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع Menggabungkan tradisi yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat .

Demikian jua kenyataan al Imam Malik rhm yang perlu dihayati :
لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها . Tidak akan gemilang umat ini melainkan turut melaksanakan apa yang menjadikan umat terdahulu gemilang.

-posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

No comments:

Post a Comment