Saturday, May 14, 2011

Wanita di sebalik ketenangan seorang pemimpin


.
Sesebuah rumah yang hendak dibina perlu kepada asas. Asas kepada rumah ialah tiangnya. Tanpa tiang maka kita tidak akan mampu mendirikan rumah. Begitu juga untuk menegakkan negara. Tiang bagi sesebuah Negara ialah wanita,  seperti kata pepatah: “Pemuda harapan bangsa pemudi tiang Negara.”
Tegaknya rumah kerana ada tiangnya. Kukuh negara pada  wanitanya. Di sebalik wajah pemimpin yang tabah dan cekal memimpin sesebuah negara ada wanita dibelakangnya. Di sebalik kecekalan dan ketabahan seorang lelaki mengharungi cabaran dan dugaan duniawi ini ada wanita di belakangnya yang sentiasa menyuntik semangat, menjadi perangsang serta memberi dorongan kepadanya. Siapakah wanita tersebut? Boleh jadi beliau adalah seorang ibu atau seorang isteri.



Begitu kuat sekali aura seorang wanita sehingga ia seolah-olah ‘spinach’ atau sayur bayam yang dimakan oleh popeye. Apabila makan saja terus jadi gagah dan kuat. Begitu juga bagi lelaki, kadang-kadang terus bersemangat apabila mendapat kata-kata semangat daripada seorang ibu atau isteri. Contoh yang terbaik iaitu kita boleh lihat peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah ketika beliau disamping junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada baginda dalam usaha menyampaikan dakwah kepada umat baginda sehingga baginda tidak patah semangat setiap kali ujian dan dugaan datang. 


Peranan seorang wanita dalam melahirkan seorang pemimpin yang berjaya amatlah besar. Jesteru, Islam amat-amat menitik beratkan soal memilih wanita sebagai calon isteri. Hal ini kerana, wanita adalah sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan menyebut bahawa lelaki memilih wanita untuk dikahwini kerana rupanya, hartanya, keturunan dan agamanya, maka pilihlah yang beragama. Isterilah yang bakal mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah seterusnya melahirkan muslim yang berjaya di dunia dan akhirat.    



Oleh itu, seorang lelaki mestilah memilih wanita sebagai bakal isterinya dengan memandang agamanya dan akhlaknya terlebih dahulu supaya rumah tangga yang akan dibentuk menjadi rumah tangga dan keluarga yang sakinah dan hasanah. Bagi wanita, jadilah wanita yang berakhlak dan solehah. Jauhilah perkara dan budaya asing yang tidak elok. Ikutilah cara dan akhlak Rasulullah s.a.w dalam adab berumah tangga seterusnya pemerintahan negara nescaya kita akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan di dunia ini.
Hakikatnya, keluarga yang hasanah akan melahirkan pemimpin yang juga baik bukan saja dari sudut fizikalnya bahkan spiritualnya. Pemimpin inilah yang akan memimpin masyarakat menuju kemajuan sesebuah negara. Kemajuan dan pembangunan yang dibina bukan saja dari sudut pembangunan harta kekayaan semata-mata bahkan pengurusan dan pembangunan sumber manusia tidak  akan diabaikan.

No comments:

Post a Comment