‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ begitulah bunyinya tema Hari Guru pada tahun ini. Sekali lagi warga pendidik dikenang dan diingati jasanya dan pengorbanannya oleh masyarakat khususnya bagi mereka yang pernah bergelar seorang pelajar suatu ketika dulu. Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri yakni berkorban untuk menerangi orang lain. Namun pada hari ini pelajar dilihat banyak mempengaruhi perwatakan guru. Hal ini demikian kerana apabila pelajar degil dan melawan guru dengan kata-kata yang kasar menyebabkan guru tersebut menjadi marah dan mendenda pelajar berkenaan. Manakala, jika pelajar berkelakuan baik dengan guru maka guru juga akan melayan pelajar berkenaan dengan baik.
Banyak faktor yang mempengaruhi pelajar berkelakuan tidak baik terhadap guru mereka. Antaranya ialah faktor pemakanan. Makanan yang dimakan oleh manusia akan menjadi darah daging dan memberi kesan pada badan. Sebagai contoh, jika mereka memakan makanan yang tidak berkhasiat, ini akan menyebabkan kekurangan zat dan menjadi kurang sihat. Apatah lagi jika mereka memakan makanan yang tidak halal. Makanan yang tidak halal atau yang datang daripada sumber yang haram juga menyebabkan hati mereka menjadi keras (dari sudut rohani) dan sukar menerima nasihat serta teguran daripada orang lain. Begitulah juga halnya dengan seorang pelajar. Oleh itu, pengambilan makanan yang halal dan berkhasiat mestilah diambil berat oleh ibu bapa dan para pelajar sendiri agar masalah kedegilan anak-anak dan para pelajar dapat diatasi disamping kesihatan badan dari sudut rohani dan jasmani terjaga.
Selain itu, perlakuan dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka juga mempengaruhi perlakuan pelajar terhadap guru-guru mereka. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa ada yang selalu menengking dan bercakap dengan suara yang tinggi dengan anak-anak mereka. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tabiat anak-anak dan menyebabkan mereka bercakap sebegitu juga dengan orang lain termasuk guru-guru mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terbiasa dengan kelakuan seperti itu, walaupun telah dinasihati oleh guru-guru mereka namun mereka tetap merasakan mereka tidak melakukan kesalahan atau biadap tergadap guru-guru mereka. Bagi mereka, guru-guru sama tarafnya dengan kawan-kawan.
Tambahan pula faktor persekitan yang terlalu bebas dan bercampur antara budaya melayu dan barat telah menyebabkan adab serta akhlak baik yang menjadi tradisi bangsa Melayu semakin terhakis. Adab antara guru dan pelajar dilihat semakin hilang. Pelajar bercakap dengan suara yang tinggi dengan guru manakala guru pula setelah lama bersabar dengan perangai pelajar lama-kelamaan hilang sabar dan terus memarahi pelajarnya. Pelajar yang merasakan dirinya tidak bersalah memberontak dan mulalah bertindak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ada juga sesetengah guru yang terlalu sedih dan tersinggung dengan tindakan pelajar yang tidak mahu mendengar nasihat mendoakan pelajarnya tidak berjaya dalam peperiksaan dan sebagainya.
Hakikatnya, guru juga adalah manusia biasa, mempunyai perasaan dan ada kelemahannya. Kesabaran dan pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak bangsa amatlah mulia disisi Allah ta’ala dan besar ganjarannya. Oleh itu, warga pendidik seharusnya dihormati oleh pelajarnya. Jika pelajar menghormati guru dan membantu guru dalam memudahkan proses pendidikan nescaya tidak akan berlaku lagi perkara buruk yang melibatkan guru dan pelajar. Guru dihormati, pelajar disayangi maka kejayaan akan diperolehi kerana di situ ada keberkatan.
No comments:
Post a Comment