Wednesday, August 24, 2011

Putus asakah wahai diri?

Assalamu'alaikum w.b.t..

"Aaaa..bosanlah dengan hidup ini, lepas satu masalah datang lagi masalah lain..belum pun dapat selesai yang tu, datang pula yang ni" --adakah ayat ini pernah terkeluar daripada mulut kita? mulut yang Allah ciptakan khas buat hamba-Nya yang bergelar MANUSIA, sesungguhnya penciptaan manusia adalah sebaik-baik penciptaan dan segala kebaikan juga terkandung di dalamnya..atau mungkin saja ayat itu pernah terlintas di hati kita, jika benar, ampuni kami ya Allah kerana tidak tertanggung rasanya hati dan diri kami menghadapi ujian daripada-Mu meskipun kami tahu bahawa setiap yang ditaklifkan kepada kami adalah apa yang termampu bagi kami dan sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib.

JANGAN BERPUTUS DENGAN RAHMAT ALLAH
Allah telah berfirman yang bermaksud : "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah". Menunjukkan bahawa rahmat Allah tersangatlah luas, andai dihitung sekalipun kita tak akan mampu untuk menghitung dan mengira kurniaan dan nikmat Allah.
"senang la kamu cakap sebab bukan kamu yang menanggung semua tu"..ya, memang bukan kita yang merasai dan menanggung semua permasalahan itu tetapi pernah tak kita fikir bahawa apa yang kita hadapi tu ada HIKMAH disebaliknya. Jika pemikiran seperti ini dimiliki oleh orang yang sedang menghadapi masalah dan ujian pastinya HATI MEREKA akan MERASAI KETENANGAN setenang air sungai yang mengalir dengan di sekelilingnya ada dedaunan yang menghijau..sejuk, nyaman dan menenangkan..namun jika kita hanya memikirkan betapa sengsaranya jiwa berada dalam kesempitan dihimpit permasalahan, maka yang dirasa hanya seperti batu-batu besar daripada bukit jatuh menghempap diri. Tersangat sakit dan pedih dirasa. Itulah yang dirasai oleh mereka yang menghadapi kebuntuan dalam kehidupan mereka. Lalu mereka terus lemah dan berputus asa tanpa ada rasa untuk bangkit dan mengubah persepsi diri.

HADIRNYA CAHAYA SETELAH KEGELAPAN
"Alhamdulillah" mungkin inilah kalimah pertama yang terkeluar daripada mulut kita apabila kita beroleh nikmat dan mendapat kesenangan. Apatah lagi jika selepas hampir separuh hidup kita hanya diselubungi dengan kesusahan dan kepayahan. Kita mampu bersabar dengan ujian daripada Allah dan kita rasa gembira dan bahagia. Firman Allah: "Sesungguhnya, setelah kesusahan pasti ada kesenangan". Sematlah kata-kata ini di dalam hati kita, moga setiap kali ujian datang, kita tahu akhirnya kita pasti beroleh kesenangan..dan itulah janji Allah!
Yang terlantar kesakitan, walaupun hampir sepanjang hidupnya dia menanggung kesakitan tidak akan mengeluh malahan dia bersyukur dengan ujian tersebut. Fikirnya, mungkin saja dia akan bergelumang dengan maksiat dan dosa jika Allah memberinya kesihatan yang baik. Bahkan dia mungkin akan melupai Allah. Tetapi dengan kesakitan dan kesusahan yang dihadapi dia mengingati Allah dan dia tahu Allah akan mengampuninya dan membalasnya dengan kebaikan di Akhirat sana. 

Yang menghadapi pergolakan rumah tangga, atau mungkin masalah ibu bapa yang sering bergaduh atau berpisah..jangan terus sedih dan carilah bahagia cinta Allah walaupun di dunia ini kita mungkin kurang mendapat kebahagian hidup. Bergaullah dengan orang yang mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah. Menghadiri majlis dan program-program yang mengingati Allah. Sentuh dan isilah hati kita dengan cinta dan kasih sayang Allah, pasti kita akan bahagia dan merasai ketenangan.

Yang selalu gagal dalam hidup, ingatlah bahawa tidak selamanya kita akan gagal jika kita sentiasa mencari dan muhasabah diri terhadap kegagalan yang kita hadapi. Mungkin saja banyak sangat HIKMAH di sebalik kegagalan itu. Kita menjadi lebih tabah dan tak mudah patah semangat. Terus berusaha untuk memperbaiki prestasi. Kerana sesungguhnya Allah menjanjikan kejayaan buat orang yang berusaha. Oleh itu, letaklah SYURGA sebagai cita-cita tertinggi, moga ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memperbaiki diri kerana hanya orang yang 'hebat' di sisi Allah akan masuk Syurga. Oleh itu, jadilah 'orang hebat' di sisi Allah, kejarlah cita-cita tertinggi itu!

KESIMPULAN
BerSYUKURlah jika mendapat kesenangan dan berSABARlah jika mendapat kesusahan. Jika kita mahukan sesuatu, lihatlah orang yang lebih kurang dan miskin daripada kita. Maka kita akan bersyukur dengan apa yang kita miliki. "Bersyukurlah wahai diri dengan kurniaan Allah, sekurang-kurangnya aku naik motor sedangkan dia hanya berbasikal, mungkin duit ini boleh ku belanjakan untuk benda yang lain daripada guna untuk beli motor besar tu." Jika kita mendapat musibah atau ujian daripada Allah, lihatlah orang yang lebih susah dan sempit daripada kita. Maka kita akan bersabar dengan apa kita hadapi. "Sabarlah wahai diri, apa yang ku hadapi hanya sedikit saja jika dibandingkan dengan orang itu yang kehilangan kedua-dua belah kakinya sedang aku masih punya satu kaki lagi."

Wallahu ta'ala a'lam.

Tuesday, August 16, 2011

Qaryah Ramadhan 1432H


Qaryah Ramadhan Terus Mendapat Sambutan

SETIAP kali menjelang bulan Ramadhan, Qaryah Ramdhan akan didirikan di perkarangan stadium Sultan Mohamad Ke IV di Kota Bharu yang sudah menjadi tradisi atau budaya yang tidak asing lagi di Kelantan. Qaryah Ramadhan ini adalah satu identiti Kelantan yang tidak kedapatan di mana-mana negeri di negara ini.

Rakyat Kelantan dan juga pelancong akan datang beramai-ramai untuk mendirikan solat terawih di Qaryah ini yang bermula dari 1 Ramadhan hingga ke akhirnya. Ternyata dari setahun ke setahun Qaryah ini semakin mendapat sambutan dari orang ramai dan ia sudah popular.

Tahun ini khabarnya khemah untuk menampung tempat sembahyang ditambah dan diperbesarkan lagi. Pun begitu kehadiran orang ramai yang makin bertambah menyebabkan khemah yang sudah cukup besar itu belum mencukupi.

Paling terasa ialah apabila ada program khas yang diadakan di Qaryah berkenaan sebagai aktiviti keagamaan tambahan. Selain dari mendirikan solat terwaih secara berjemaah aktiviti lain seperti tadarus Quran, tazkirah dan juga syarahan agama diadakan.

Sebagai contoh, majlis yang khas Ustaz Azhar Idrus bersama remaja dan ustaz Azhar merupakan ustaz yang disukai ramai, majlis yang diadakan telah mendapat sambutan hangat. Lebih 5,000 hadirin kebanyakan anak-anak muda remaja telah hadir. Majlis atau aktiviti ini menarik anak-anak muda pada keagamaan.
Selain itu, majlis tadarus al-Quran beramai-ramai juga telah diadakan. Tadarus perdana yang dirasmikan oleh menteri besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini akan diteruskan di masjid-masjid terpilih sepanjang Ramadhan. Selain juadah berbuka puasa, peserta yang terdiri daripada anak muda lelaki dan wanita ini turut diberikan senaskhah al-Quran , beg, rihal termasuk sijil penyertaan apabila majlis khatam al-Quran diadakan pada akhir Ramadhan nanti.
Antara objektif program diadakan bertujuan untuk menghidupkan budaya bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan terutamanya bagi belia dan anak muda. Ianya juga bertujuan mengumpulkan anak uda Kelantan dengan aktiviti bermanfaat untuk mendapatkan ganjaran pahala pada bulan Ramadhan. Ini secara tidak langsung merupakan pendekatan agama yang digunakan untuk merawat jiwa anak muda yang terlampau dilalaikan dengan hiburan arus perdana.       

Untuk lebih menarik perhatian dan mendedahkan para jemaah Qaryah berkenaan pembacaan al-Quran, seorang hafiz al-Quran dari Mesir diundang untuk menjadi imam solat terawih di samping beberapa imam tempatan. Ini merupakan satu peluang bagi para jemaah untuk mengetahui dan mengenali tentangnya.

Imam dari Mesir itu dikatakan boleh mengalunkan 14 jenis lagu (qiraat) dan ada yang belum pernah diperdengarkan di Kelantan. Beliau juga dikatakan boleh meniru gaya bacaan empat imam terhebat di dunia termasuk imam di Masjid Haram di Makkah dan masjid Nabawi di Madinah.

Ilham untuk membangunkan Qaryah Ramadhan ini sebenarnya datang dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan menteri besar negeri Kelantan. Manakala ianya dikendalikan langsung oleh sebuah jawatankuasa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI). Semoga Qaryah Ramadhan kali ini mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Semoga program-program seperti Qaryah Ramadhan ini dapat diadakan di negeri-negeri lain juga kerana program ini dilihat bukan saja dapat menyuburkan semangat untuk beribadat pada pada bulan yang mulia ini bahkan dapat mengeratkan tali persaudaraan sesama masyarakat yang beragama Islam khususnya.
Untuk mengetahui dan mengikuti perjalanan program Qaryah Ramadhan di negeri Kelantan pada tahun ini, boleh mengikut Qaryah Ramadhan di facebook.
    
http://2.bp.blogspot.com/-LBg15Df7haQ/TjsU5Tyn6II/AAAAAAAAJrM/Yqwl3ORLB8Q/s320/TG%2B1.jpg
Tuan Guru Nik Aziz ketika menyampaikan tazkirah di Qaryah Ramadhan.

http://4.bp.blogspot.com/-XWoarkue2fc/TjsUz0K3W1I/AAAAAAAAJqk/msT-mH7WUWE/s320/TG%2B6.jpg
Imam dari Mesir yang dibawa khas ke Qaryah Ramadhan.

http://1.bp.blogspot.com/--IyP3Y0Cr-k/TjsU01kAfTI/AAAAAAAAJq8/1kdMA_DWlo0/s320/TG%2B3.jpg
Sebahagin daripada ribuan yang bersolat di Qaryah Ramadhan.

http://1.bp.blogspot.com/-Etjl0spXTbQ/TjsU0kFt_BI/AAAAAAAAJq0/xq115QI0sjA/s320/TG%2B4.jpg
Di sebelah kanan kelihatan sebahagian jemaah muslimat.
http://2.bp.blogspot.com/-EOZc6TvLWIM/TjsU0f_nyDI/AAAAAAAAJqs/PtCMVqSQ2pE/s320/TG%2B5.jpg
Sujud mengagungkan Allah yang memberi segala nikmat.

http://3.bp.blogspot.com/-OA9Hz5wa35k/TjsU091uSDI/AAAAAAAAJrE/3gSGZWPsvGE/s320/TG%2B2.jpg
Berjemaah mengeratkan tali persaudaraan.