Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Saturday, December 21, 2013

Peringatan drp As Syahid Syeikh Ahmad Yasin

Bismillahirrahmanirrahim..

Syeikh Ahmad Yasin yang begitu kecewa dan sedih dengan sikap bangsa Arab telah berkata:

"Tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?

Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini).

Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi roda) ku. Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kalian diam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa..

Nasihatilah diri

assalamu'alaikum pembaca laman maya ini...

pernah tak kita dengar seorang menasihati seseorang;

"sabarlah sahabatku, semua ni dugaan dan ujian daripada Allah"
"sabar la beb, takkan benda kecik pun sampai nak bunuh diri kot.. "

hmm..banyak lagi ayat yang kita pernah dengar yang seumpama ini apabila seseorang menasihati sahabatnya..hakikatnya hanya sahabat yang menanggung permasalahan sahaja yang mengetahui apa dia alami..

Maka sebutlah kepadanya bahawa Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan, "Sesiapa yang dijanjikan Tuhan memperoleh kebaikan, dia pasti dikenakan musibah.”

Allah berfirman: "Tidaklah dibebani kepada seseorang itu sesuatu yang dia tidak mampu untuk menanggungnya" (surah al-Baqarah: 286) yakni Allah tidak membebani seseorang sesuatu yang dia tidak mampu menanggungnya.

Insafi Diri

Apabila kita merasa senang, kita selalu melupai-NYA

Namun apabila kita dalam kesusahan dan ditimpa musibah

barulah diri mencari-cari-NYA

Thursday, January 5, 2012

Bila ditanya tentang perkahwinan..

Assalamu'alaikum w.b.t..
 
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Ar-Rum: 21)


Apabila ada soalan yang diajukan kepadaku tentang perkahwinan atau status perkahwinan, lidahku tiba-tiba jadi kelu, hati dan akal jadi terfikir..eh, dah sesuai ditanya soalan ini padaku??
"Apakah status perkahwinan anti/ukhti/anda/awak?" ....unmarried yet (pelajar sepenuh masa)
"Dah berpunya yea? bila nak makan nasi minyak ni?" ....kepunyaan Allah, insyaALLAH kalau ada jodoh yang Allah dah tentukan, sampailah masanya, walau siapapun ia
"Ni pakai cincin ni, dah ada orang cop/tanda ke? jangan lupa ajak saya bila nak kawin nanti yea"....pakai cincin banyak sebabnya, terpulang pada niatnyalah..janji jangan salah sangka dan sebarkan fitnah (tanyalah pd empunya diri) 

rupa-rupanya soalan inilah sering menghantui muda mudi remaja remaji kita sekarang ni..hmm..yang belum terlintas dan terfikir pun nak ada pasangan hidup, jadi terfikir..jadi nak ada pasangan juga, akhirnya pelajaran entah ke mana..cita-cita entah ke mana..

KENAPA KITA MAHU 'MENDIRIKAN MASJID' ATAU BERKAHWIN?
Kita dah betul-betul sedia ke nak berkahwin? Diri sendiri pun masing terumbang ambing, adakah kita yakin kita boleh bawa pasangan kita menuju bahagia dalam alam rumah tangga..Ingat wahai teman, kita mungkin rasa "Bahagianya sebuah perkahwinan, apabila kita lihat rupa bayi yang baru lahir, rupa dan perasaan bahagia ibu bapa yang menyambut kelahiran bayi mereka..keadaan pasangan yang baru berkahwin berjalan berpegangan tangan, adegan suap menyuap ketika makan dan sebagainya".."bahagianya punya pasangan hidup, ada orang yang sediakan sarapan, makanan, ada orang yang sediakan pakaian, ada teman untuk berkongsi suka dan duka"..TETAPI adakah hanya itu sahaja yang wujud dalam sebuah perkahwinan?
Banyak lagi yang mungkin tak terlintas dalam fikiran kita. Perkahwinan juga adalah mengikat atau menyambung silaturrahim antara dua buah keluarga. Jika kita nak berkahwin terlebih dahulu kita kena kenal keluarganya. Mungkin ada yang berkata, "aku nak kawin dengan anaknya bukan dengan mak atau ayahnya.", tetapi tahukah kita, jika anak perempuan yang kita ingin jadikan isteri, ibu bapanya telah menyerahkan AMANAHnya pada kita, kita masih terikat dengan tanggungjawab itu dan tak semudah 'ambil dan pergi' jika ingin mengambil amanah itu daripada ibu bapanya. Begitu juga dengan perempuan yang ingin menjadikan seseorang lelaki sebagai suaminya. Ikatlah tali persaudaraan dengan tali perkahwinan. Keluargamu keluargaku jua dan keluargaku keluargamu jua. Part ni la yang susah, sebab selalunya mesti ada yang terasa dengan keluarga masing-masing. Tasamuh atau bertoleransi itu penting. Fahamilah pasangan masing-masing.

Perkahwinan juga adalah perkongsian hidup antara dua individu. Bukan senang untuk berkongsi kehidupan kita dengan orang lain. Ditambah pula orang itu adalah yang berlainan jantina dengan kita. Tidur kena berkongsi katil dengan suami/isteri kita, kena berkongsi segala-galanya, almari, pinggan mangkuk dll. Lagi bertambah sukar bagi yang tak biasa berkongsi barang dengan orang lain sama ada adik beradik mahupun teman sebilik di asrama. Berkongsi suka dan duka, masalah dengan pasangan akan meringankan bebanan dan tekanan masing-masing. Hanya suami akan memahami siapa isterinya dan hanya isteri yang memahami siapa suaminya. Inilah rahmat Allah s.w.t ke atas hambanya.  Selain daripada itu, banyak lagilah sebab mengapa kita mahu berkahwin yang mana kita semua dah tahu. Contohnya, sebagai penyambung generasi dan umat Nabi Muhammad s.a.w, kerana keluasan rezeki dan rahmat Allah dan sebagainya.


JADI, BETULKAH KITA SUDAH BERSEDIA UNTUK PUNYA PASANGAN HIDUP?? ^_^ wallahua'lam..

Tuesday, November 8, 2011

Kekurangan Itu Suatu Kehebatan

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7)
Kebiasaannya, bila kita di kurniakannikmat rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan?
Bersyukur! ya, itulah yang seharusnya.
Tetapi, bagaimana pula kalau kita diberikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang ingin bersyukur?
Tepuk dada, tanya Iman.
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur apabila menerima ujian. Mungkin dalam 100% hanya 5% yang bersyukur dan berlapang dada apabila menerima ujian.
Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (QS al-Baqarah : 177)
Saya pasti kalian pernah mendengar kata-kata ini:
"After every storm there is a rainbow"
Jadi, walau apa pun ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat Berkat.
Fikirkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan kelebihan tertentu.
Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah,
Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan.
"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46]
Kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya.
Ya Allah, jadikanlah diri ini hamba-Mu yang bersyukur..amiin

- Artikel iluvislam.com

Saturday, October 15, 2011

Bekalan ini..


Assalamu'alaikum..
Terbaca dalam sebuah majalah, jadi ingin kongsikannya di sini..
Tarbiah adalah tunjang kekuatan jamaah. Di antara unsur yang menjadi landasan tegaknya tarbiah rabbaniyyah di kalangan al-Ikhwan al-Muslimun adalah ibadah kepada Allah SWT yang merupakan tujuan terbesar dari penciptaan manusia.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi (2005), di antara unsur-unsur dasar ibadah yang ditekankan dalam tarbiah al-Ikhwan al-Muslimun adalah:
1.    1.  Berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi bid’ah kerana semua bentuk bid’ah adalah sesat. Berkaitan hal, ini seorang akh yang terhormat Sayyid Sabiq menulis karyanya yang cukup terkenal iaitu Fiqh Sunnah yang disambut baik oleh Hasan al-Banna sehingga beliau berkenan memberi pengantar dan memujinya. Sebelum dicetak luas, beberapa bahagian dari buku tersebut diterbitkan dalam majalah mingguan al-Ikhwan. Kitab Fiqh Sunnah disusun berdasarkan dalil-dalil syar’ie dan dapat dianggap sebagai mewakili orientasi fikah al-Ikhwan al-Muslimin.
2.      2.  Menjaga perkara-perkara yang fardhu. Hal ini kerana Allah tidak menerima amalan sunnah sebelum memenuhi amalan fardhu. Dalam sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dinyatakan:
“Seorang hamba-Ku tidak melakukan qurbah (pendekatan) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai dari melakukan apa yang telah Ku wajibkan kepadanya.”
Kerana itu, tidak boleh sama sekali meremehkan dan menganggap ringan meninggalkan suatu kewajiban(fardhu).
3.      3.  Menganjurkan solat berjamaah. Hukum solat jamaah berkisar antara fardhu ain, fardhu kifayah atau sunnah mu’akkadah sesuai dengan perbezaan pendapat antara beberapa mazhab. Untuk itu, ketika sebahagian anggota ikhwan dimasukkan ke dalam Penjara Tur, mereka segera menjadikan behagian-bahagian penjara yang terpisah itu sebagai masjid untuk melakukan solat berjamaah dan Solat Jumaat. Saya masih teringat dengan suara Syeikh Muhammad al-Ghazali yang mengimami kami dalam setiap solat pada waktu itu. Ia selalu berdoa Qunut di setiap rakaat terakhir dengan mengucapkan:”Ya Allah, bukakanlah belenggu tahanan kami dengan kekuatan-Mu, himpunkanlah perpecahan kami dengan rahmat-Mu, selesaikanlah urusan kami  dengan perhatian-Mu. Ya Allah, tutupkanlah aurat dan aib kami, berikanlah ketenangan  atas rasa takut kami…”
4.      4. Menganjurkan pelaksanaan sunnah. Dalam kelanjutan hadis qudsi di atas dinyatakan:
“Dan hamba-ku terus melakukan qurbah(pendekatan) kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunnah sehingga Aku menyukainya…”
Betapa banyak orang yang tumbuh di bawah naungan tarbiah Ikhwan yang tekun menjalankan puasa dan solat malam:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap.” (Surah as-Sajdah)

Menyucikan dan mensucikan hati yang kotor, penuh dengan kesilapan dan dosa..diri yang taksempurna..hanya Allah yang Maha Sempurna..
Allahu yusahhil..Moga Allah permudahkan buat kita semua..amiin


Wednesday, August 24, 2011

Putus asakah wahai diri?

Assalamu'alaikum w.b.t..

"Aaaa..bosanlah dengan hidup ini, lepas satu masalah datang lagi masalah lain..belum pun dapat selesai yang tu, datang pula yang ni" --adakah ayat ini pernah terkeluar daripada mulut kita? mulut yang Allah ciptakan khas buat hamba-Nya yang bergelar MANUSIA, sesungguhnya penciptaan manusia adalah sebaik-baik penciptaan dan segala kebaikan juga terkandung di dalamnya..atau mungkin saja ayat itu pernah terlintas di hati kita, jika benar, ampuni kami ya Allah kerana tidak tertanggung rasanya hati dan diri kami menghadapi ujian daripada-Mu meskipun kami tahu bahawa setiap yang ditaklifkan kepada kami adalah apa yang termampu bagi kami dan sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib.

JANGAN BERPUTUS DENGAN RAHMAT ALLAH
Allah telah berfirman yang bermaksud : "Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah". Menunjukkan bahawa rahmat Allah tersangatlah luas, andai dihitung sekalipun kita tak akan mampu untuk menghitung dan mengira kurniaan dan nikmat Allah.
"senang la kamu cakap sebab bukan kamu yang menanggung semua tu"..ya, memang bukan kita yang merasai dan menanggung semua permasalahan itu tetapi pernah tak kita fikir bahawa apa yang kita hadapi tu ada HIKMAH disebaliknya. Jika pemikiran seperti ini dimiliki oleh orang yang sedang menghadapi masalah dan ujian pastinya HATI MEREKA akan MERASAI KETENANGAN setenang air sungai yang mengalir dengan di sekelilingnya ada dedaunan yang menghijau..sejuk, nyaman dan menenangkan..namun jika kita hanya memikirkan betapa sengsaranya jiwa berada dalam kesempitan dihimpit permasalahan, maka yang dirasa hanya seperti batu-batu besar daripada bukit jatuh menghempap diri. Tersangat sakit dan pedih dirasa. Itulah yang dirasai oleh mereka yang menghadapi kebuntuan dalam kehidupan mereka. Lalu mereka terus lemah dan berputus asa tanpa ada rasa untuk bangkit dan mengubah persepsi diri.

HADIRNYA CAHAYA SETELAH KEGELAPAN
"Alhamdulillah" mungkin inilah kalimah pertama yang terkeluar daripada mulut kita apabila kita beroleh nikmat dan mendapat kesenangan. Apatah lagi jika selepas hampir separuh hidup kita hanya diselubungi dengan kesusahan dan kepayahan. Kita mampu bersabar dengan ujian daripada Allah dan kita rasa gembira dan bahagia. Firman Allah: "Sesungguhnya, setelah kesusahan pasti ada kesenangan". Sematlah kata-kata ini di dalam hati kita, moga setiap kali ujian datang, kita tahu akhirnya kita pasti beroleh kesenangan..dan itulah janji Allah!
Yang terlantar kesakitan, walaupun hampir sepanjang hidupnya dia menanggung kesakitan tidak akan mengeluh malahan dia bersyukur dengan ujian tersebut. Fikirnya, mungkin saja dia akan bergelumang dengan maksiat dan dosa jika Allah memberinya kesihatan yang baik. Bahkan dia mungkin akan melupai Allah. Tetapi dengan kesakitan dan kesusahan yang dihadapi dia mengingati Allah dan dia tahu Allah akan mengampuninya dan membalasnya dengan kebaikan di Akhirat sana. 

Yang menghadapi pergolakan rumah tangga, atau mungkin masalah ibu bapa yang sering bergaduh atau berpisah..jangan terus sedih dan carilah bahagia cinta Allah walaupun di dunia ini kita mungkin kurang mendapat kebahagian hidup. Bergaullah dengan orang yang mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah. Menghadiri majlis dan program-program yang mengingati Allah. Sentuh dan isilah hati kita dengan cinta dan kasih sayang Allah, pasti kita akan bahagia dan merasai ketenangan.

Yang selalu gagal dalam hidup, ingatlah bahawa tidak selamanya kita akan gagal jika kita sentiasa mencari dan muhasabah diri terhadap kegagalan yang kita hadapi. Mungkin saja banyak sangat HIKMAH di sebalik kegagalan itu. Kita menjadi lebih tabah dan tak mudah patah semangat. Terus berusaha untuk memperbaiki prestasi. Kerana sesungguhnya Allah menjanjikan kejayaan buat orang yang berusaha. Oleh itu, letaklah SYURGA sebagai cita-cita tertinggi, moga ia menjadi pemangkin semangat untuk terus memperbaiki diri kerana hanya orang yang 'hebat' di sisi Allah akan masuk Syurga. Oleh itu, jadilah 'orang hebat' di sisi Allah, kejarlah cita-cita tertinggi itu!

KESIMPULAN
BerSYUKURlah jika mendapat kesenangan dan berSABARlah jika mendapat kesusahan. Jika kita mahukan sesuatu, lihatlah orang yang lebih kurang dan miskin daripada kita. Maka kita akan bersyukur dengan apa yang kita miliki. "Bersyukurlah wahai diri dengan kurniaan Allah, sekurang-kurangnya aku naik motor sedangkan dia hanya berbasikal, mungkin duit ini boleh ku belanjakan untuk benda yang lain daripada guna untuk beli motor besar tu." Jika kita mendapat musibah atau ujian daripada Allah, lihatlah orang yang lebih susah dan sempit daripada kita. Maka kita akan bersabar dengan apa kita hadapi. "Sabarlah wahai diri, apa yang ku hadapi hanya sedikit saja jika dibandingkan dengan orang itu yang kehilangan kedua-dua belah kakinya sedang aku masih punya satu kaki lagi."

Wallahu ta'ala a'lam.

Wednesday, July 13, 2011

Glob kehidupan

Assalamu'alaikum w.b.t buat sahabat alam maya..
Kita semua mengalami perubahan diri, seawal kita sebagai seorang bayi, membesar menjadi kanak-kanak, remaja seterusnya dewasa dan menjadi tua.



Di usia bayi, kita belajar mengenai sesuatu, menyebut perkataan 'mama'..'baba'..'papa'..bulan berganti bulan, gigi mula tumbuh, mula merangkak, bertatih kemudian berjalan..betapa indahnya pengalaman seorang ibu melihat anaknya tumbuh dan membesar. Namun kita di saat itu, kuat semangat, cekal dan tak mudah putus asa, nak ambil sesuatu, walaupun susah, usaha juga sampai boleh ambil..nak merangkak, tak dapat imbang tangan, usaha mengengsot dengan kaki dan punggung supaya boleh bergerak..nak berdiri dan berjalan, entah berapa kali jatuh dan menangis, tapi tetap usaha juga sampai boleh ke tempat yang nak dituju..

Ketika kanak-kanak pula, kita asyik nak bermain je..permainan apa yang tak dicuba, polis entri, main sorok-sorok baling selipar, bola baling, bola katok, macam-macam lagi lah..tak habis kalu nak taip di sini..pendek kata zaman ini zaman bermain dan gembira. Petang-petang apabila selesai mengaji pastinya turun ke padang, main dengan kawan-kawan, main macam tak ingat dunia, waktu dekat maghrib baru balik rumah, ibu terus melenting dan marah sebab pulang lewat, ibu mana yang tak marah anaknya main sampai macam tu sekali..ish..ish..waktu ni kira aktiflah, kena marah pun dah jadi kalis dah, esoknya buat lagi.

Apabila usia sudah meningkat remaja, perubahan hormon dan diri berubah. Ketika ini, amat penting dorongan dan bimbingan daripada ibu bapa terhadap anak-anaknya. Kadang-kadang perwatakan kita juga mungkin berubah, waktu kecilnya lincah tiba-tiba menjadi pendiam, waktu kecilnya kurang bergaul menjadi pandai bergaul, yang dulunya satu geng lelaki dan perempuan tiba-tiba jadi malu dan segan antara satu sama lain, perasaan kadang-kadang jadi sensitif..ini semua adalah perubahan yang dialami oleh kita disebabkan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang kita pelajari sama ada daripada persekitaran atau ibu bapa.

Usia dewasa menyebabkan kita mesti berfikir lebih matang, pandang ke hadapan dan sudah makin serius dalam memikirkan tentang kehidupan..kadang-kadang pada waktu inilah kita rasakan seolah-olah baru tersedar dari sebuah angan-angan. Dulunya berbagai-bagai angan-angan mahupun cita-cita yang kita impikan, kini ianya mungkin telah terlaksana atau dalam proses merealisasikannya. Menempuhi setiap apa yang diimpikan agar terlaksana dengan jayanya. Wah, sudah jauh kita berjalan melalui liku-liku sebuah kehidupan..fikirkan masa tua yang bakal tiba andai rahmat Ilahi masih menyelimuti usia yang berbaki, mungkin saja setahun, dua tahun atau sepuluh tahun ke hadapan, ke mana harus digunakan usia kurniaan-Nya itu.

Waktu tua kini menyapa, tiada apa yang diharap melainkan anak-anak dan keluarga berada di sisi..menghabiskan masa mendekatkan diri pada-Nya..moga segala amalan diterima-Nya..
Begitulah sebuah kehidupan yang biasa terjadi..namun kebiasaan ini akan menjadi luar biasa apabila dari usia kecil lagi kita diterapkan dengan pengenalan pada Allah, diri kita..mardhotillah dan akhirat yang menjadi cita-cita..setiap peringkat usia kita pastinya menjadi amat-amat bermakna..fastabiqul khairat, jangan tunggu lagi untuk melakukan kebaikan..

Tuesday, June 7, 2011

Pelajar Mempengaruhi Perwatakan Guru Hari Ini



‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ begitulah bunyinya tema Hari Guru pada tahun ini. Sekali lagi warga pendidik dikenang dan diingati jasanya dan pengorbanannya oleh masyarakat khususnya bagi mereka yang pernah bergelar seorang pelajar suatu ketika dulu. Guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri yakni berkorban untuk menerangi orang lain. Namun pada hari ini pelajar dilihat banyak mempengaruhi perwatakan guru. Hal ini demikian kerana apabila pelajar degil dan melawan guru dengan kata-kata yang kasar menyebabkan guru tersebut menjadi marah dan mendenda pelajar berkenaan. Manakala, jika pelajar berkelakuan baik dengan guru maka guru juga akan melayan pelajar berkenaan dengan baik.

Banyak faktor yang mempengaruhi pelajar berkelakuan tidak baik terhadap guru mereka. Antaranya ialah faktor pemakanan. Makanan yang dimakan oleh manusia akan menjadi darah daging dan memberi kesan pada badan. Sebagai contoh, jika mereka memakan makanan yang tidak berkhasiat, ini akan menyebabkan kekurangan zat dan menjadi kurang sihat. Apatah lagi jika mereka memakan makanan yang tidak halal. Makanan yang tidak halal atau yang datang daripada sumber yang haram juga menyebabkan hati mereka menjadi keras (dari sudut rohani) dan sukar menerima nasihat serta teguran daripada orang lain. Begitulah juga halnya dengan seorang pelajar. Oleh itu, pengambilan makanan yang halal dan berkhasiat mestilah diambil berat oleh ibu bapa dan para pelajar sendiri agar masalah kedegilan anak-anak dan para pelajar dapat diatasi disamping kesihatan badan dari sudut rohani dan jasmani terjaga.

Selain itu, perlakuan dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak mereka juga mempengaruhi perlakuan pelajar terhadap guru-guru mereka. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa ada yang selalu menengking dan bercakap dengan suara yang tinggi dengan anak-anak mereka. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tabiat anak-anak dan menyebabkan mereka bercakap sebegitu juga dengan orang lain termasuk guru-guru mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terbiasa dengan kelakuan seperti itu, walaupun telah dinasihati oleh guru-guru mereka namun mereka tetap merasakan mereka tidak melakukan kesalahan atau biadap tergadap guru-guru mereka. Bagi mereka, guru-guru sama tarafnya dengan kawan-kawan.

Tambahan pula faktor persekitan yang terlalu bebas dan bercampur antara budaya melayu dan barat telah menyebabkan adab serta akhlak baik yang menjadi tradisi bangsa Melayu semakin terhakis. Adab antara guru dan pelajar dilihat semakin hilang. Pelajar bercakap dengan suara yang tinggi dengan guru manakala guru pula setelah lama bersabar dengan perangai pelajar lama-kelamaan hilang sabar dan terus memarahi pelajarnya. Pelajar yang merasakan dirinya tidak bersalah memberontak dan mulalah bertindak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ada juga sesetengah guru yang terlalu sedih dan tersinggung dengan tindakan pelajar yang tidak mahu mendengar nasihat mendoakan pelajarnya tidak berjaya dalam peperiksaan dan sebagainya. 

Hakikatnya, guru juga adalah manusia biasa, mempunyai perasaan dan ada kelemahannya. Kesabaran dan pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak bangsa amatlah mulia disisi Allah ta’ala dan besar ganjarannya. Oleh itu, warga pendidik seharusnya dihormati oleh pelajarnya. Jika pelajar menghormati guru dan membantu guru dalam memudahkan proses pendidikan nescaya tidak akan berlaku lagi perkara buruk yang melibatkan guru dan pelajar. Guru dihormati, pelajar disayangi maka kejayaan akan diperolehi kerana di situ ada keberkatan.    








     

Saturday, May 14, 2011

Wanita di sebalik ketenangan seorang pemimpin


.
Sesebuah rumah yang hendak dibina perlu kepada asas. Asas kepada rumah ialah tiangnya. Tanpa tiang maka kita tidak akan mampu mendirikan rumah. Begitu juga untuk menegakkan negara. Tiang bagi sesebuah Negara ialah wanita,  seperti kata pepatah: “Pemuda harapan bangsa pemudi tiang Negara.”
Tegaknya rumah kerana ada tiangnya. Kukuh negara pada  wanitanya. Di sebalik wajah pemimpin yang tabah dan cekal memimpin sesebuah negara ada wanita dibelakangnya. Di sebalik kecekalan dan ketabahan seorang lelaki mengharungi cabaran dan dugaan duniawi ini ada wanita di belakangnya yang sentiasa menyuntik semangat, menjadi perangsang serta memberi dorongan kepadanya. Siapakah wanita tersebut? Boleh jadi beliau adalah seorang ibu atau seorang isteri.



Begitu kuat sekali aura seorang wanita sehingga ia seolah-olah ‘spinach’ atau sayur bayam yang dimakan oleh popeye. Apabila makan saja terus jadi gagah dan kuat. Begitu juga bagi lelaki, kadang-kadang terus bersemangat apabila mendapat kata-kata semangat daripada seorang ibu atau isteri. Contoh yang terbaik iaitu kita boleh lihat peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah ketika beliau disamping junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada baginda dalam usaha menyampaikan dakwah kepada umat baginda sehingga baginda tidak patah semangat setiap kali ujian dan dugaan datang. 


Peranan seorang wanita dalam melahirkan seorang pemimpin yang berjaya amatlah besar. Jesteru, Islam amat-amat menitik beratkan soal memilih wanita sebagai calon isteri. Hal ini kerana, wanita adalah sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu. Rasulullah s.a.w. bersabda dengan menyebut bahawa lelaki memilih wanita untuk dikahwini kerana rupanya, hartanya, keturunan dan agamanya, maka pilihlah yang beragama. Isterilah yang bakal mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah seterusnya melahirkan muslim yang berjaya di dunia dan akhirat.    



Oleh itu, seorang lelaki mestilah memilih wanita sebagai bakal isterinya dengan memandang agamanya dan akhlaknya terlebih dahulu supaya rumah tangga yang akan dibentuk menjadi rumah tangga dan keluarga yang sakinah dan hasanah. Bagi wanita, jadilah wanita yang berakhlak dan solehah. Jauhilah perkara dan budaya asing yang tidak elok. Ikutilah cara dan akhlak Rasulullah s.a.w dalam adab berumah tangga seterusnya pemerintahan negara nescaya kita akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan di dunia ini.
Hakikatnya, keluarga yang hasanah akan melahirkan pemimpin yang juga baik bukan saja dari sudut fizikalnya bahkan spiritualnya. Pemimpin inilah yang akan memimpin masyarakat menuju kemajuan sesebuah negara. Kemajuan dan pembangunan yang dibina bukan saja dari sudut pembangunan harta kekayaan semata-mata bahkan pengurusan dan pembangunan sumber manusia tidak  akan diabaikan.

Monday, April 4, 2011

Sebuah Pelayaran..

Assalamu'alaikum buat penghuni alam maya..

Kita manusia berada dalam sebuah pelayaran, kita dibekalkan sampan dan pendayung untuk mendayung dan menggerakkan sampan. Lautan luas kita harungi walaupun di dalamnya ada pelbagai hidupan yang cukup banyak dan membahayakan diri kita. Arus dan ombak lautan sentiasa tak menentu, kadang-kadang elok dan kadang-kadang buruk. Sampaikan sampan kita jadi tak stabil dan bergoyang-goyang, selamatkah kita? atau kita akan karam dilautan yang luas?

KEHIDUPAN SEBUAH PELAYARAN

Begitulah diibaratkan hidup kita di dunia ini. Dunia yang terbentang luas dipenuhi dengan pelbagai makhluk ciptaan Allah s.w.t yang tak terhitung banyaknya. Ibarat sebuah lautan yang luas. Kadang-kadang kita merasakan seakan-akan masih jauh penghujungnya dunia ini seperti jauhnya melihat atau menjumpai daratan ketika berada di tengah-tengah lautan. Andai kita lalai, kita akan tersilap langkah dan terus menukar arah perjalanan kita menuju ke arah yang salah sehingga kita sesat. Maka kita akan semakin jauh dari daratan, maka kita makin jauh dan lupa destinasi yang sebenar kita iaitu akhirat.

Kita dibekalkan dengan sebuah sampan dan pendayung. Sampan merupakan kenderaan kita untuk mengharungi lautan yang luas. Seumpama iman kita. Kadang-kadang sampan kita bergoyang dan hampir karam dipukul ombak ketika cuaca buruk. Jikalau sampan kita buruk dan tidak kukuh maka kita bakal karam di lautan. Begitu juga iman kita, andai iman kita lemah, ketika ditimpa ujian Allah maka kita mungkin gagal menempuhinya dan terus berputus asa dengan rahmat Allah s.w.t ataupun jika ujian itu berupa kesenangan kita mungkin lemas dalam kemaksiatan pada Allah s.w.t..na'uzubillah.

Pendayung pula ibarat ilmu kita. Ilmu yang bermanfaat akan membawa kebaikan jika digunakan pada jalan kebaikan. "sesiapa yang diingini Allah kebaikan padanya maka diajarkan dan diberi faham tentang agama-Nya." Kitalah yang mendayung sampan itu untuk sampai ke daratan, andai terjadi sesuatu kepada pendayung itu, mungkin patah dan sebagainya maka kita tak akan ke mana dan perjalanan kita terhenti di tengah-tengah lautan yang luas. Tanpa ilmu kita akan ke mana, tanpa ilmu kita tak akan kenal Allah, tanpa ilmu kita tak akan kenal siapa kita. Maka, dengan ilmu yang benarlah yang membawa kita menuju ke jalan yang benar dan jauh dari kejahilan dan kesesatan. Tanpa ilmu kita akan hidup dalam kejahilan dan kegelapan dan kita tak akan ke mana pun di dunia ini maka rugilah kita di akhirat kelak..na'uzubillah. Ilmu yang benar dan bermanfaat serta diikuti pula dengan amalan yang baik akan membawa kita kepada kesenangan di akhirat kelak.

PELAYARAN AKAN SAMPAI KE PENGHUJUNGNYA 

Ingatlah wahai diri, kehidupan di dunia ini tidak kekal abadi, akhiratlah tempat kembali. Pelayaran akan berakhir apabila tiba di daratan. Pentas dunia ini merupakan satu wayang gambar. Setiap yang berlaku direkod dan dirakam oleh Allah, setiap amalan anak Adam yakni kita dicatat oleh malaikat-malaikat-Nya yang taat akan perintah-Nya. Kemudian semua itu akan ditayangkan kembali dihadapan kita semua di akhirat kelak, segala perbuatan kita yang jelas mahupun sembunyi bakal kita tonton. Yang baik amalannya tersenyum gembira manakala yang buruk amalannya meraung kesedihan diselubungi penyesalan. 

Akhirnya, marilah sama-sama kita menginsafi diri kembali. Bagaimanakah amalan kita selama ini? adakah kita akan selamat dalam pelayaran ini? Wallahua'lam.. 
 

Friday, February 11, 2011

Tabiat 2..

sambungan daripada entri yang sebelum ni...

Jadi, sudah bersedia untuk berubah dan melakukan satu anjakan paradigma???
Jom!!ayuh sama-sama kita melakukan perubahan demi ketenangan dan kebahagiaan hidup kita..semestinya!!!

PERUBAHAN AND MAKE A CHANGE
 
Sahabat-sahabat,
Nak berubah ke arah yang baik atau yang lebih adalah sesuatu yang mudah namun untuk mengekalkannya dan istiqamah padanya itulah yang sukar. Sebagai contoh, setiap kali kita menyambut tahun baru atau 'happy new year' pasti ada saja azam baru yang kita buat..kemudian kita laksanakannya di permulaan tahun baru tersebut..pelaksanaan itu mungkin akan bertahan dalam masa satu ke dua minggu atau mungkin satu ke dua bulan..betul tak?? hehe..kadang-kadang sememangnya perkara sebegini berlaku..

Samalah juga dalam kes ni..setelah kita tahu faktor-faktor yang menyebabkan diri kita tak beroleh kejayaan..nah! inilah masanya kita cuba untuk mengatasinya..jangan tunggu sampai esok, ayuh! sekarang juga kita berubah..

Antara cara atau langkahnya ialah:
1. Perbetulkan niat kita. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud, setiap amalan adalah dengan niat. Oleh itu, kalu kita niat nak lulus exam semata maka hanya lulus exam saja yang kita dapat..berniatlah untuk mendapat ilmu yang bermanfaat dan untuk mendapat redha Ilahi..
2. Plan our study. Atur jadual belajar dengan sebaiknya.
3. Jaga hati kita daripada terjebak dengan perkara yang boleh menghalang atau menghijab ilmu Allah sampai kepada kita seperti maksiat. Dengki dalam soal pelajaran seperti dengki kepada kawan kerana dia belajar bersungguh-sungguh, jadi kita berazam untuk jadi sepertinya maka itu tiadalah salah di sisi agama
4. Jaga adab dalam belajar.
5. Mendamping dan bersahabat dengan orang yang berilmu.
Banyak lagi cara dan langkah yang boleh kita amalkan untuk melakukan perubahan..kita boleh cari buku-buku motivasi seperti karangan Dr. Fadhilah Kamsah, Pro. Izzu, atau mana-mana pakar motivasi sebagai pemangkin kepada perubahan yang baik.

selamat mencuba(^_^)
ketenangan dan kebahagian


Monday, January 31, 2011

Tabiat..

salam mahabbah buat penghuni alam maya..

Pernah anda merasakan anda lemah dan tidak sekuat atau setabah orang lain??
Hakikatnya, diri ini selalu merasakan sedemikian..MENGAPA perkara sebegini sering terjadi??
Ini juga boleh dikatakan sebagai PEMIKIRAN YANG NEGATIF..huh, macam mana nak menghindarkan diri daripada selalu berfikir macam ni..Padahal setiap apa yang dikurniakan Allah s.w.t adalah yang terbaik buat kita..

Kenapa kita tak boleh jadi sehebat kawan kita? Kenapa kawan kita boleh faham dan menguasai sesuatu kemahiran lebih cepat daripada kita? Kenapa orang lain lebih senang daripada kita? Kenapa nampak orang tak serabut atau tak perlu fikir banyak perkara macam kita??...

wah, banyak betul persoalan..mampukah diri ini menjawabnya???

ATTITUDE DAN TABIAT DIRI 

Sebenarnya, semuanya bergantung pada sikap kita, macam mana sikap kita ketika mengahadapi sesuatu keadaan..dan bagaimana kita mengawal emosi kita pada saat itu..
hmm..sukar bukan nak memahaminya??

contohnya, kita lihat sahabat kita beroleh kejayaan dalam peperiksaan dengan cara yang mudah, nampak cam takde study kuat cam kita kan..kita kadang-kadang pulun habis-habisan masa nak exam, sampaikan tidur pun dengan buku, pergi kafe pun dengan buku, nak mandi pun sempat lagi belek buku..ish..ish..
sahabat kita ni cool je..siap tengok movie dan ada yang main game lagi malam tu sedangkan esok exam..uish, macam mana tu??

Banyak faktor sebenarnya yang menyebabkan diri kita tak mendapat kejayaan seperti sahabat kita..antara:-
1. Keberkatan dalam menuntut ilmu, berkaitan dengan hubungan dengan Allah dan makhluk sekeliling..
2. Mungkin sebab kita study last minit, malam exam baru nak cover semua topic..
3. 'Hasad dengki' atau perasaan cemburu kuat sangat kot, duk fikir banyak tentang orang lain sampai tak sempat fikir tentang diri sendiri untuk berubah.
4. Ego, rasa diri dah banyak ilmu..tak nak belajar sungguh-sungguh..
 hmmm..banyak lagi faktor lain tapi yang mungkin diri masing-masing mengetahuinya..
Ya Allah, minta dijauhkan daripada semua ini..Allahu Akbar3x

Macammana nak berubah??
tunggu entri seterusnya...mood..mood..
kena tunggu mood datang untuk sambung entri..
Allahu rabbi yassir 'alayya;)

Monday, January 17, 2011

Sang daie itu..

salam pertemuan buat sahabat alam maya..
Alhamdulillah, moga kita sentiasa berada di bawah rahmat Allah dengan nikmat Iman dan Islam..
Pernah tak kita mendengar perkataan 'daie' atau 'pendakwah' dan perkataan 'mad'u' atau 'orang yang didakwah'??

Pastinya dalam kalangan kita ada yang familiar dengan perkataan ini dan perkataan ini tidak asing lagi bagi mereka. 'Daie' adalah perkataan daripada bahasa Arab (دَعَا-يَدْعُو(دَعْوًا / دَعْوَةً yang membawa maksud perbuatan menyeru, seterusnya, daripada perkataan ini juga terbitnya perkataan dakwah. Apabila kita tukar tasrifnya kepada sighah fa'el (kaedah tatabahasa bahasa Arab) maka timbullah perkataan daie yang membawa maksud orang yang menyeru atau pendakwah.

Maksud menyeru di sini adalah khusus kepada menyeru kepada perkara yang baik dan berbentuk positif. manakala, orang yang menyeru atau mengajak berbuat kerosakan dan kemusnahan tidak boleh dipanggil sebagai daie.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang yang beruntung." (surah Ali-Imran:104)

Segolongan orang yang dimaksukan Allah itu adalah daie. Jadi, siapa daie itu? Ia boleh jadi diri kita sendiri..ini kerana setiap daripada kita ada tanggungannya dan setiap orang bertanggungjawab ke atas tanggungannya itu.

Sabda nabi, "Sampaikanlah daripada ku walaupun sepotong ayat". Nah, ini menunjukkan batapa kita semua bertanggungjawab menyampaikan apa yang baginda sampaikan. Maka, bagaimana caranya?? Caranya adalah menyeru mereka yang disekeliling kita ke arah kebaikan, berbuat baik dan menjauhi maksiat. Ini kerana tugas daie adalah menyeru orang ramai ke arah kebaikan, menyuruh mereka menurut perintah Allah s.w.t. dan mencegah mereka melakukan larangan Allah s.w.t.

Seorang ayah juga adalah daie bagi anaknya
Seorang suami juga adalah daie bagi isterinya
Seorang guru juga adalah daie bagi anak didiknya
Seorang abang mahupun kakak juga adalah daie bagi adik-adiknya
Maka, kita daie yang menyeru kebaikan...mencegah kemungkaran...

Wahai para daie,
Pamerkanlah kebaikan dan jauhkanlah diri dari perkara yang boleh menyebabkan orang lain menjauhi kita, dan sampaikanlah kebaikan dengan berhikmah kerana kita pembawa kebenaran dan penyambung perjuangan Rasulullah..andai kerana kita orang lain di sekeliling kita rosak dek kerana tak sampai seru maka kita akan ditanya kelak oleh-NYA...

sama-samalah renungi diri, muhasabah dan koreksi diri...jadilah daie yang sentiasa muroqabatullah..(",)

Sunday, January 2, 2011

Nasihat buatku..Muslimah Solehah

Wanita Pilihan Allah

by Abu Hanifah on Saturday, January 1, 2011 at 5:56pm

Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Perempuan itu dinikahi karena empat perkara, iaitu: harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Dapatkanlah wanita yang taat beragama, engkau akan berbahagia." (Muttafaq Alaihi dan Imam Yang Lima).

Dan dalam sabdanya yang lain;“Dunia adalah kesenangan sementara, dan sebaik-baiknya kesenangan dunia adalah wanita (isteri) yang solehah.”. (Muslim, an-nasa’i)

Banyak sekali ayat-ayat Allah dan hadits Rasulullah yang mengajarkan kaum wanita, agar mereka dapat menjadi wanita pilihan Allah, dan sebaik-baiknya perhiasan dunia.

Tentunya, dengan tulisan yang ringkas ini tidaklah mungkin kita hadirkan kajian ayat dan hadits yang sangat banyak sekali jumlahnya …, tetapi dengan sangat mudah kaum wanita dapat bercermin melalui ciri-ciri akhlak mereka..


Beberapa ciri yang umum dari akhlak wanita pilihan Allah adalah ;

Sebelum menikah, wanita solehah akan selalu menjaga dirinya, ia tidak akan membuka satu hubungan khusus, kecuali jika ia mengetahui bahwa lelaki tersebut hendak meminang dirinya. Aqidah islam, kefahaman dan akhlaq calon suami, merupakan modal dasar dari kriterianya. Wanita solehah tidak akan memperlihatkan auratnya pada kaum lelaki yang dilarang oleh syariat , dirinya tidak akan pula membiarkan bahagian tubuhnya disentuh, walau hanya berjabat tangan oleh lelaki yang bukan muhrimnya dan yang tidak memiliki kepentingan.

Dalam proses perkenalan atau ta’aruf ia tidak akan membiarkan dirinya berdua-duaan dengan kaum lelaki. Menjawab salam, tidak berbicara kecuali hal yang mengarah pada kebaikan. Tidak menjatuhkan kehormatan dan martabatnya dengan memberikan peluang kepada kaum lelaki untuk mempermainkan dirinya. Tidak meminta harta mahupun barang apapun selain kesungguhan calon suami untuk mempercepat proses akad nikah.

Dan..pada saat menikah dan setelahnya, ciri wanita sholehah tercermin dari akhlaq mereka ;

Menerima mahar sesuai dengan kesanggupan calon suaminya, sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Wanita yang paling banyak berkahnya adalah mereka yang paling mudah maharnya”. (Ahmad dan Baihaqi).


Sentiasa taat dan melayani suami mereka selama perintah mereka tidak bertentangan dengan perintah agama. Mendahulukan kepentingan suami dari pada kepentingan dirinya. Dapat menjadi pendengar yang baik, lemah lembut dalam berbicara, menghibur, mendorong hati suami ketika dalam kesulitan dan kesedihan, memberikan ketenangan dalam rumah tangga, dan senantiasa memperhatikan penampilan, kebersihan, kecantikan dan menjaga kesihatan dirinya, dan istiqomah dalam beribadah...

Ketika suami tidak dirumah, dirinya tidak akan pernah memperbolehkan lelaki yang tidak dikenal atau lelaki yang tidak disukai oleh suami masuk ke dalam rumahnya.

Menjaga harta suami adalah bagian dari tugas isteri yang solehah, mengatur harta rumah tangga dengan tidak berlebihan dan tidak juga kikir adalah hal yang dianjurkan dalam agama. Menyelesaikan pekerjaan rumah tangga, menyediakan makanan yang sesuai dengan selera suami, memperhatikan seluruh keperluan suami, adalah bentuk pengabdian yang selalu bernilai pahala.

Sebesar apapun, ia sentiasa bersyukur atas apa yang diberikan oleh suaminya, tidak banyak mengeluh, sabar dalam menerima keterbatasan suami, tidak meminta sesuatu yang lebih dari kemampuan suaminya, menghormati orang tua suami, memperlakukan mereka dengan sikap terbaik, pemaaf dan pengertian, adalah sifat yang senantiasa ditunjukkannya.



Jika ia bekerja, maka ia akan menjaga dirinya dalam pergaulan, menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia, yang dapat mengantarkan dirinya dalam kemaksiatan.

Memberikan sedekah kepada keluarga dari hasil pekerjaannya. Wanita solehah adalah ikutan dari anak-anaknya, mereka akan memberikan teladan yang terbaik bagi anak-anaknya, sabar dalam mendidik anak, tidak mengeluarkan perkataan yang tidak patut untuk di contohi oleh anak-anak…

Setidaknya, inilah ciri-ciri akhlaq wanita solehah..tentunya, kesolehan itu tidak datang sendirinya, ia memerlukan proses…

Dan wanita solehah tentunya akan memilih lelaki pilihan Allah, yang bersama-sama mengantarkan dirinya melalui proses tersebut.. agar mencapai keberkahan dalam kehidupan dunia dan akhirat..
Wallahu’alam.